Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh
Ahli panel wacana kali ini ialah yg berbahagia Ustaz Baharudin Ayudin.
Baharuddin Ayudin, 56. Berasal dari Kg. Masjid Lama, Lenggong, Perak. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak. Menguasai bahasa Arab dan mendalami al-Qur'an dan al-Sunnah setelah melanjutkan pelajaran ke Universiti Umm al-Qura, Makkah al-Mukarramah. Pernah bekerja dalam bidang pengembangan pertanian dan pembangunan sosial di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Negara (FELCRA) sebelum berangkat ke Makkah. Sekembali dari Makkah pernah bertugas di Islamic Counsellor Office Saudi Arabia sebagai penterjemah kitab. Berasaskan ilmu dan pengalaman yang dimiliki, beliau mengasaskan penubuhan Semat Qur'an lima tahun yang lalu dan bekerja sepenuh masa sebagai Pengurus Besar. Kini Semat Qur'an sudah mempunyai beberapa pusat pembelajaran, iaitu di Ampang, Ipoh, Shah Alam, Bangi dan Kuala Kangsar. Selain itu Semat Qur'an juga sudah menubuhkan Institut Latihan Perguruan, Kolej Pertanian dan Pusat Latihan dan Rawatan Komplementari. Kini Semat Qur'an juga memiliki sebuah Pasaraya, kedai dobi, dua buah Restoran, dua buah pusat percetakan digital dan sebuah pusat percetakan cenderamata. Dalam usaha mengembangkan dakwah ke tengah masyarakat, Semat Qur'an juga mempunyai unit IT bagi mengendalikan kerja-kerja rakaman, pengeluaran bahan pembelajaran dan pengurusan kerja-kerja penerbitan. Semoga ta'aruf ringkas ini dapat membantu para peserta mengenali sedikit sebanyak latarbelakang pensyarah. Walau apapun, pesanan dari saya: "Jangan terpesona dengan hebatnya orang di mata manusia kerana yang dipandang di sisi Allah ialah ketakwaannya. Demikian juga kebenaran itu tidak diukur kepada kepetahan berkata-kata, tetapi berpandukan dalil sahih yang dikemukakan. Bahkan kesungguhan itu tidak dibuktikan menerusi ketekunan bekerja semata-mata, tetapi sejauhmana usahanya berguna kepada orang lain." Semoga kita semua terpandu di atas jalan yang lurus.
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
No comments:
Post a Comment